BAB sebelum ini akan dibentangkan dalam bab ini.

BAB
5

RUMUSAN,
PERBINCANGAN DAN CADANGAN

5.1 Pengenalan

Bab 5 merupakan
bab yang terakhir dalam kajian ini. Perbincangan secara ringkas tentang bab-bab
sebelum ini akan dibentangkan dalam bab ini. Selain itu, perbincangan hasil
kajian akan dibentangkan bagi mengenal pasti objektif kajian ini dapat dicapai.
Implikasi-implikasi yang dibincang oleh pengkaji adalah berdasarkan hasil
perbincangan yang telah dijalankan. Akhirnya, cadangan yang dikemukakan harap
dapat memanfaatkan pihak-pihak berkenaan supaya dapat meningkatkan hasrat
keusahawanan pelajar.

 

5.2 Ringkasan Kajian

Kajian ini
dijalankan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi hasrat pelajar
Cina menceburi bidang keusahawanan. Tujuan kajian ini adalah melihat faktor
latar belakang keluarga, motivasi dan sikap terhadap hasrat keusahawanan
pelajar Cina. Pengkaji telah memilih sebanyak 171 orang pelajar sebagai sampel
kajian yang terdiri daripada pelajar-pelajar Cina tingkatan empat di SMJK Tsung
Wah. Pengkaji telah membina tiga objektif kajian dan pada masa yang sama
membina tiga persoalan kajian daripada objektif kajian yang hendak dijalankan.
Dalam bab 1, kerangka teori juga dibentuk bagi membolehkan
pembolehubah-pembolehubah yang terlibat dalam kajian ini dilihat secara jelas.

            Dalam bab 2 pula, kajian-kajian
lepas yang berkaitan dengan faktor yang mempengaruhi pelajar menceburi bidang
keusahawanan telah dibincangkan secara teliti bagi menyokong kajian ini.
Setelah pengkaji membuat tinjauan yang lebih lanjut, pengkaji mendapati
terdapat tiga faktor yang sering dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji lepas iaitu
faktor latar belakang keluarga, motivasi dan sikap dalam mempengaruhi pelajar
menceburi bidang keusahawanan. Oleh itu, pengkaji telah menetapkan ketiga-tiga
faktor ini dalam kajian ini. Pengkaji juga mengemukakan teori dan model yang
berkaitan dengan kajian ini iaitu Teori Tingkah Laku dan Model Proses
Pembentukan Usahawan dalam bab 2.

            Seterusnya dalam bab 3, pengkaji
membentang metodologi yang digunakan semasa kajian dijalankan. Reka bentuk
kajian, persampelan, instrumentasi, prosedur kajian, kebolehpercayaan kajian,
kajian rintis dan kaedah penganalisisan data merupakan metodologi yang
dikemukakan dalam bab 3. Pengkaji menggunakan perisian SPSS versi 23 semasa
menguji kebolehpercayaan item-item yang terdapat dalam borang soal selidik dan
menjalankan kajian rintis. 30 orang pelajar Cina di SMJK Shing Chung dipilih
menjalankan kajian rintis bagi mengenal pasti nilai Cronbach Alpha yang perlu
mendapat sekurang-kurangnya 0.6 sebelum melaksanakan kajian sebenar. Dapatan
kajian rintis telah dinyatakan dalam bab 3.

            Bab 4 pula menjelaskan dapatan
kajian yang diperoleh daripada borang soal selidik yang diedarkan kepada
pelajar Cina di SMJK Tsung Wah. Analisis yang dijalankan adalah untuk
menjelaskan segala persoalan yang dinyatakan dalam kajian ini. Perisian SPSS
versi 23 juga digunakan dalam bab 4 semasa analisis data dilakukan. Borang soal
selidik terdapat lima bahagian di mana bahagian A merupakan maklumat demografi
dan dianalisis menggunakan kekerapan dan peratusan. Data bahagian b, c dan d
dianalisis menggunakan pengukuran nilai min dan sisihan piawai. Manakala
bahagian e pula dianalisis menggunakan kolerasi Spearman bagi mengenal pasti
hubungan antara faktor dengan hasrat keusahawanan dalam kajian ini.

 

 

5.3 Perbincangan Dapatan

5.3.1 Perbincangan
Dapatan Persoalan Kajian 1: Apakah faktor yang mempengaruhi pelajar sekolah Cina
mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan?

Dalam
persoalan kajian ini, pengkaji telah menganalisis ketiga-tiga faktor iaitu
latar belakang keluarga, motivasi dan sikap. Penyataan bagi faktor latar
belakang keluarga yang mendapat nilai min paling tinggi ialah keluarga saya
akan bersetuju dengan keputusan saya untuk memulakan perniagaan di mana nilai
min sebanyak 3.42 dan sisihan piawai 1.245. Dapatan ini adalah selari dengan
Ali (2016) dalam kajiannya yang mendapat persetujuan sebanyak 78%. Manakala
penyataan saya hendak meneruskan perniagaan milik keluarga mendapat nilai min
yang paling rendah iaitu 2.33 dan sisihan piawai 1.418.

                 Seterusnya, responden
berpendapat mempunyai kuasa membuat keputusan merupakan faktor motivasi yang
mempengaruhi pelajar sekolah Cina mempunyai hasrat menceburi bidang
keusahawanan. Penyataan ini mendapat nilai min yang paling tinggi iaitu 3.95
dan sisihan piawai 1.152. Kajian lepas Brancu et.al (2012), kepentingan
mempunyai kuasa membuat keputusan dalam faktor motivasi telah mendapat 44.30%.
Ini selaras dengan dapatan kajian pengkaji. Skor min yang paling rendah adalah
3.10 dan sisihan piawai 1.286 di mana responden kurang berpendapat menjadi
terkenal adalah faktor yang mempengaruhi mereka mempunyai hasrat keusahwanan.

                 Skor min yang paling tinggi
dalam faktor sikap pula ialah 3.82 dan sisihan piawai 1.216 di mana jika saya
mempunyai peluang dan sumber, saya ingin memulakan perniagaan. Menurut Ali
(2016), terdapat 80% yang setuju bahawa mereka akan memulakan perniagaan jika
mereka mempunyai peluang dan sumber. Manakala skor min yang paling rendah
adalah 2.98 dan sisihan piawai 1.166 dengan penyataan menjadi seorang usahawan
adalah satu tarikan kepada saya. Kesimpulannya, faktor latar belakang keluarga,
motivasi dan sikap merupakan faktor yang mempengaruhi pelajar sekolah Cina
mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan.

 

 

5.3.2  Perbincangan Dapatan Persoalan Kajian 2: Apakah
faktor dominan yang mempengaruhi pelajar sekolah Cina mempunyai hasrat
menceburi bidang keusahawanan?

Berdasarkan
data yang dianalisis, pengkaji mendapati antara faktor-faktor yang mempengaruhi
pelajar sekolah Cina mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan adalah
faktor motivasi. Faktor motivasi merupakan faktor dominan yang mempengaruhi
hasrat pelajar Cina menceburi bidang keusahawanan. Ini kerana faktor motivasi
mendapat skor min yang paling tinggi iaitu 3.59 dan sisihan piawai 0.7513.
Seterusnya, faktor sikap hanya mendapat nilai min sebanyak 3.26 dan sisihan
piawai 0.9374. Manakala faktor latar belakang keluarga mendapat skor min yang
paling rendah iaitu 2.72 dan sisihan piawai 0.9082.

                 Tahap penilaian skor min yang
disediakan dalam bab 3 telah memberi kedudukan kepada faktor-faktor yang
mempengaruhi pelajar Cina mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan yang
berdasarkan skor min. Tahap kedudukan yang paling tinggi adalah faktor motivasi
diikuti faktor sikap yang mendapat tahap kedudukan sederhana dan faktor latar
belakang mendapat tahap kedudukan rendah. Ini dapat dilihat tahap kedudukan
faktor secara tidak langsung adalah sama dengan skor min.

                 Kesimpulannya, faktor motivasi
merupakan faktor dominan yang mempengaruhi pelajar sekolah Cina mempunyai
hasrat menceburi bidang keusahawanan. Ini disokong oleh Tanveer (2013) yang
berpendapat faktor motivasi penting dalam mempengaruhi pelajar Pakistan
menceburi bidang keusahawanan dan Mmakgabo (2014) yang menyatakan motivasi
penting dalam menterjemahkan niat keusahawanan ke dalam sesuatu tindakan
pelajar Afrika Selatan.

 

 

5.3.3      Perbincangan
Dapatan Persoalan Kajian 3: Adakah terdapat hubungan antara faktor latar
belakang, motivasi dan sikap dengan hasrat keusahawanan pelajar sekolah Cina?

Dalam
persoalan ketiga, pengkaji telah menganalisis hubungan antara faktor latar
belakang keluarga, motivasi dan sikap dengan hasrat keusahawanan pelajar
sekolah Cina. Analisis yang pertama dijalankan merupakan faktor latar belakang
keluarga dengan hasrat keusahawanan pelajar sekolah Cina. Menerusi analisis
kolerasi Spearman yang dijalankan, nilai p adalah 0.000 yang kurang daripada
nilai aras signifikasi 0.05 telah menunjukkan terdapat hubungan positif yang
signifikasi antara faktor latar belakang keluarga dan hasrat keusahawanan
pelajar Cina. Manakala nilai r adalah 0.457 juga menandakan terdapat hubungan yang
sederhana antara faktor latar belakang keluarga dan hasrat keusahawanan pelajar
sekolah Cina. Ini menyamai kajian lepas Mazlina dan Maitilee (2015) yang
mendapati latar belakang keluarga mempunyai hubungan yang positif dalam
mempengaruhi pelajar menceburi bidang keusahawanan. Bagheri dan Pihie (2010) juga berpendapat bahawa
latar belakang keluarga merupakan faktor yang mempengaruhi pelajar menceburi
bidang keusahawanan.

                 Selain itu, analisis antara
faktor motivasi dan hasrat pelajar Cina menceburi bidang keusahawanan telah
dijalani. Hubungan positif yang signifikasi antara faktor motivasi dan hasrat
keusahawanan pelajar Cina telah ditunjukkan kerana analisis yang dijalankan
mendapat nilai p 0.000 di mana nilai p kurang daripada nilai aras signifikasi
0.05. Nilai r sebanyak 0.513 juga didapati semasa analisis kolerasi Spearman
dijalankan. Berdasarkan jadual anggaran kekuatan perhubungan di bab 3, ini
mewakili hubungan yang kuat antara faktor motivasi dan hasrat keusahawanan
pelajar sekolah Cina di mana kajian lepas Marini? (2014) juga berpendapat
terdapat hubungan positif antara faktor motivasi dengan hasrat keusahawanan.

                 Analisis faktor sikap dan
hasrat pelajar Cina menceburi bidang keusahawanan juga dijalankan. Pengkaji
mendapat nilai r 0.775 dan nilai p 0.000 setelah data kajian dianalisis.
Hubungan positif yang signifikasi antara faktor sikap dan hasrat pelajar
sekolah Cina menceburi bidang keusahawanan dapat dibuktikan kerana nilai p yang
kurang daripada nilai aras signifikasi 0.05. Manakala nilai r menunjukkan
terdapat hubungan yang sangat kuat antara faktor sikap dan hasrat keusahawanan
pelajar Cina. Ini selaras dengan kajian lepas Nabila dan Haryani (2016) yang
berpendapat terdapat hubungan yang sangat kuat antara faktor sikap dan hasrat
keusahawanan.

                 Kesimpulannya, faktor latar
belakang keluarga, motivasi dan sikap mempunyai hubungan yang positif dengan
hasrat keusahawanan pelajar Cina. Walau bagaimanapun, pengkaji mendapati faktor
sikap mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan hasrat keusahawanan pelajar
Cina antara ketiga-tiga faktor. Ini disokong oleh Kabir et.al. (2017) yang berpendapat
faktor sikap mempunyai hubungan yang kuat dengan hasrat keusahawanan dalam kajian
lepasnya.

 

 

5.4 Implikasi Kajian

Kajian ini
dijalankan disebabkan kekurangan kajian lepas tentang faktor yang mempengaruhi
pelajar Cina mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan. Implikasi terhadap
pelbagai pihak dapat dikemukakan oleh pengkaji apabila kajian ini berjaya
dilaksanakan. Implikasi kajian telah dibentang dari segi teori dan praktikal.

            Dalam bidang akademik, kajian ini
telah memberi sumbangan seperti menambah pengetahuan saintifik yang berfokus
kepada bangsa Cina. Ini kerana pengkaji mendapati kajian lepas tentang faktor
yang mempengaruhi pelajar atau mahasiswa dalam menceburi bidang keusahawanan
adalah banyak tetapi kajian yang berfokus dalam bangsa lebih-lebih lagi bangsa
Cina adalah terhad. Apabila kajian ini dilaksanakan, bidang akademik dapat
menambah lagi kajian yang berfokus kepada bangsa Cina sahaja. Skop sasaran
kajian yang kecil ini dapat membantu pihak-pihak yang berminat lagi memahami
bangsa tersebut. Manakala sumbangan kepada literature juga dapat dilakukan
secara tidak langsung. Ini boleh membantu pengkaji-pengkaji lain yang ingin
membuat kajian yang berkaitan dengan faktor yang mempengaruhi pelajar Cina
mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan mempunyai rujukan atau sokongan
yang lain.

            Selain itu, kajian ini juga boleh
menjadi salah satu sumber yang memberi kesedaran kepada pelajar yang berminat dalam
bidang keusahawanan. Apabila pelajar mempunyai kesedaran diri dalam bidang
keusahawanan, pelajar dapat mengambil langkah dalam memulakan usaha ke arah
menceburi bidang keusahawanan. Para pelajar boleh mengkaji cara memulakan dan
mengekalkan perniagaan mereka dari awal lagi. Usaha dari awal ini membantu
pelajar berjaya dalam bidang keusahawanan daripada pelajar lain.

            Kajian ini juga dapat membantu pihak
sekolah lebih memahami hasrat pelajar dalam memilih kerjaya khususnya menceburi
bidang keusahawanan pada masa depan. Pihak sekolah memainkan peranan yang
penting dalam mendorong pelajar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Ini
kerana pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan bidang
keusahawanan supaya pelajar yang berminat dapat menyertai dan mendapat
pengalaman. Penyertaan dan pengalaman amat penting kepada pelajar yang berminat
menyertai bidang keusahawanan kerana pengalaman membantu mereka lebih mudah
mengendali sesuatu perniagaan. Aktiviti keusahawanan yang diadakan juga secara
tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada pelajar yang berminat atau
menanam minat dalam kalangan pelajar lain.

            Di samping itu, data yang diperolehi
juga dapat membantu Kementerian Pendidikan dalam merangka program dan seminar
yang berkaitan dengan bidang keusahawanan kepada pelajar yang berminat. Melalui
program yang diadakan, pelajar dapat menambah pengetahuan, kemahiran dan pengalaman
pelajar terhadap bidang keusahawanan. Kajian ini juga dapat membantu pihak
kementerian dalam merangka kurikulum yang lebih sesuai jika berlaku
ketidaksesuaian atau kekurangan dalam kurikulum perniagaan yang sedia ada. Ini
kerana kurikulum yang berkesan harus diubah atau ditambahbaik dari semasa ke
semasa. Oleh itu, pengkaji berharap bidang keusahawanan dalam masyarakat Cina
dapat ditingkatkan dan seterusnya dapat memajukan ekonomi negara.

 

 

5.5 Cadangan

Berdasarkan kajian
ini, pengkaji mempunyai beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan pada masa
depan. Pengkaji mencadang kajian ini boleh dijalankan secara menyeluruh kepada
semua pelajar Cina di seluruh Malaysia. Ini kerana pengkaji hanya menggunakan pelajar
Cina dalam sebuah sekolah menengah sebagai responden kajian sahaja. Responden
kajian yang dijalankan secara menyeluruh membolehkan hasil kajian yang lebih
menyeluruh dan tepat.

            Selain itu, pengkaji juga mencadang
responden kajian boleh dikembangkan kepada bangsa lain seperti Melayu, India
dan lain-lain kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai
bangsa. Bangsa lain juga menceburi bidang keusahawanan bukan sahaja bangsa
Cina. Ini dapat membantu pelbagai pihak lebih memahami bangsa-bangsa lain
terhadap bidang keusahawanan.

            Kajian ini juga boleh dilaksanakan
ke pelbagai peringkat dan bukan sahaja berfokus kepada pelajar sekolah
menengah. Responden boleh diluaskan kepada pelajar STPM, matrikulasi, diploma,
sarjana atau doktor falsafah supaya dapat lebih memahami pendapat pelajar dari
pelbagai peringkat terhadap bidang keusahawanan.

            Di samping itu, pengkaji ingin
mencadangkan beberapa item soal selidik boleh ditambah dalam kajian seperti
menambah faktor yang mempengaruhi pelajar Cina mempunyai hasrat menceburi
bidang keusahawanan. Ini dapat meluaskan hasil kajian daripada tiga faktor
sahaja dan pada masa yang sama dapat lebih memahami faktor lain yang
mempengaruhi pelajar Cina menceburi bidang keusahawanan.

 

 

 

5.6 Kesimpulan

Kajian ini memberi
penekanan kepada tiga faktor yang telah mempengaruhi pelajar sekolah Cina
mempunyai hasrat menceburi bidang keusahawanan. Ketiga-tiga faktor tersebut
adalah latar belakang keluarga, motivasi dan sikap. Pengkaji akan memilih
faktor tersebut kerana pengkaji mendapati kebanyakan kajian lepas telah memilih
ketiga-tiga faktor sebagai pembolehubah kajian mereka. Sokongan daripada kajian
lepas telah menyakinkan lagi pengkaji untuk memilih ketiga-tiga faktor ini
sebagai pembolehubah kajian ini.

Menerusi kajian
ini, pengkaji dapat membuat kesimpulan bahawa faktor dominan yang mempengaruhi
hasrat keusahawanan pelajar Cina adalah faktor motivasi. Ini selaras dengan
kajian lepas yang bependapat motivasi merupakan faktor yang mendorong pelajar
menceburi bidang keusahawanan di mana Osabiya (2015) menyatakan motivasi adalah
dorongan yang menyebabkan seseorang cuba mencapai matlamat tertentu.

Selain itu, ketiga-tiga
faktor mempunyai hubungan yang positif dengan hasrat keusahawanan pelajar Cina.
Walau bagaimanapun, pengkaji mendapati faktor sikap mempunyai hubungan yang
sangat kuat dengan hasrat keusahawanan pelajar Cina. Kajian lepas Rahimi dan
Aishah (2017) juga berpendapat faktor sikap penting dalam mendorong pelajar
menceburi bidang keusahawanan.

Secara
keseluruhannya, pengkaji dapat mencapai objektif kajian dalam mengenal pasti
faktor latar belakang keluarga, motivasi dan sikap mempengaruhi hasrat pelajar
Cina menceburi bidang keusahawanan. Pengkaji berharap kajian ini dapat
memanfaat kepada bakal pengkaji pada masa depan.